Dalam sebuah hadis menceritakan, setengah daripada kegemaran Rasulullah S.A.W. ialah suka bergurau senda dengan kaum keluarganya dengan gurauan yang sopan dan memberi faedah.
Pada suatu hari ketika Rasulullah S.A.W.sedang bercakap dengan anaknya Siti Fatimah mengenai kenikmatan syurga dan orang-orang yang akan dikurniakan tinggal di dalam syurga, maka baginda pun bersabda, "Ayuhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan yang akan masuk syurga lebih dahulu daripada anakanda."
Mendengar kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanya lantas dia pun menangis dan berkata, "Siapakah perempuan itu ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda khabarkanlah di mana dia sekarang?"
Lalu Rasulullah S.A.W. berkata, "Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah."
Tanpa membuang masa, Siti Fatimah pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan akan masuk syurga lebih dahulu daripadanya.
Setelah dia sampai ke rumah orang itu, dia pun mengetuk pintunya. Kemudian perempuan itu pun keluar sambil bertanyakan hajat kedatangannya tanpa menjemput Siti Fatimah masuk ke dalam rumahnya.
Siti Fatimah berkata, "Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan awak."
Perempuan itu menjawab, "Terima kasih cik, tetapi saya tidak dapat membenarkan cik masuk
kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti, silalah datang pada esok hari."
Dengan perasaan sedih dan dukacita, Siti Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan itu.
Besoknya, Siti Fatimah datang lagi dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Sebaik sahaja sampai di rumah wanita itu dan setelah pintu dibuka dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba dia melihat ada budak bersama-sama Siti Fatimah, lalu dia berkata, "Ini siapa?" tanyanya kepada Siti Fatimah.
"Ini anak saya, Hasan." Sahut Siti Fatimah. Perempuan itu pun berkata, "Saya dukacita cik kerana saya belum minta keizinan untuk masuk dari suami saya."
Siti Fatimah menjadi serba salah. Hendak balik jauh, hendak ditinggalkan anaknya di luar, nanti dia menangis. Hendak dibawa masuk belum mendapat keizinan. Akhirnya dia pun balik.
Keesokan harinya, dia datang lagi dengan membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Setibanya mereka di perkarangan rumah perempuan itu, mereka segera disambut olehnya, tetapi dia terkejut apabila memandang ada budak lain pula yang belum diminta izin dari suaminya.
Beliau pun berkata, "Cik dukacita kerana budak yang satu ini belum saya minta izin, harap maaf cik." Mendengarkan kata-kata itu, Siti Fatimah tersipu-sipu menyahut, "Baiklah. Besok saya datang lagi ke mari."
Dalam perjalanan pulang ke rumah, hatinya berkata-kata, "Heh, perempuan ini takut sangat akan suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tidak berani melakukannya. Pada hal jika dia benarkan aku masuk, takkanlah suaminya marah. Tak usahlah pandang aku ini siapa, dan dua budak ini cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh, sudahlah," bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.
Dalam pada itu, sebaik sahaja suaminya pulang, perempuan itu pun memberitahu tentang budak yang satu lagi itu. Suaminya terkejut dan hairan sambil berkata, "Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W. dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaannya (Rasulullah S.A.W.). Jangan awak buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapa pun, terimalah dengan baik, dan awak hormatlah mereka semua sebagaimana yang patut bagi darjat mereka."
Sahut isterinya pula, "Baiklah, tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak."
"Terima kasih," sahut suaminya, "tapi takkanlah pula sampai awak tidak menerima tetamu perempuan melainkan dengan setahu saya, kerana menghormatkan tetamu perempuan itu wajib pada adat dan agama."
Pada hari seterusnya, Siti Fatimah datang lagi dengan membawa kedua orang puteranya itu. Setelah diterima dan dihormatkan mengikut adat kampung dengan dijamu sedikit buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan.
Dalam pada itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tidak begitu mempedulikan Siti Fatimah. Sambil itu, Siti Fatimah terlihat di tangannya terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air, manakala tangan sebelah lagi mengangkat hujung kainnya sehingga ke atas sehingga menampakkan betis dan sedikit pehanya dan mukanya manis dengan senyuman.
Melihatkan keadaan perempuan itu, Siti Fatimah berasa resah kerana dia anak-beranak langsung tidak dipedulikan. Lantas dia pun bertanya, "Kenapa jadi begini?" Sahut perempuan itu, "Cik, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan suami saya yang akan pulang ke rumah."
"Buat apa dengan bekas air itu?" tanya Siti Fatimah.
Jawabnya, "Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah."
Kemudian Siti Fatimah bertanya lagi, "Buat apa pula tongkat itu?"
"Jika suami saya marah, mudahlah dia memukuli saya dengan tongkat ini," jawab perempuan itu.
Kemudian Siti Fatimah bertanya lagi, "Kenapa pula awak selak kain awak sehingga Nampak aurat? Bukankah itu haram?"
Maka perempuan itu menjawab, "Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya."
Sebaik sahaja habis perempuan itu bercakap, Siti Fatimah termenung dengan hairan, lalu berkata kepada dirinya sendiri, "Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidaklah dapat aku mengikutnya. Patutlah dia masuk syurga lebih dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain.
Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung kepada ketaatan kepada suami dan keredhaan suami terhadapnya."
Sambil teresak-esak menagis dan enitiskan air matanya, kemudian Siti Fatimah minta diri dan pulang dengan segera dan terus mengadap ayahandanya, Rasulullah S.A.W.
Sebaik sahaja dia mengadap ayahandanya, dia pun berkata, "Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi anakanda kerana tidak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda ceritakan itu."
Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W. mendengar rintihan anakandanya itu, lalu baginda tersenyum lantas bersabda, "Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk lebih dahulu." Setelah mendengar penjelasan itu, barulah siti Fatimah tersenyum ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan