TANGGAL 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam atau lebih dikenali dengan OIC lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?
Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin).
Api marak dengan dahsyat sekali seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah s.w.t telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan. Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan.
Lucunya, Rohan mendakwa bahawa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita dari Kitab Zakaria. Apa yang menyedihkan kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan 'gila', dengan kata lain, tidak waras. Maka, atas sebab itu, Rohan tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Bertitik-tolak insiden menghinakan itu, negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.
Maka sejak itu, 21 Ogos tanpa gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa. Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam.
Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa. Tidak menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia 'terbakar' hati dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu. Begitulah nasib Tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis. Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat Islam.
Satunya kerana, kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah. Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.
Hari ini Palestin berada dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya daripada tangan umat Islam. Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam. Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin. Pelbagai kegiatan boleh dijalankan untuk menghebahkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam hati umat Islam serta soal penindasan di Masjid Al-Aqsa. Kita berharap program ini akan menggerakkan masyarakat supaya sedar lalu terpanggil untuk menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.
Episod duka Palestin ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan masyarakat dunia.
Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah keseluruhannya cenderung untuk dirampas secara haram oleh rejim Zionis.
Justeru, bersempena Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun ini, adalah amat wajar untuk kita sama- sama mengajak masyarakat sekeliling memperingatinya, apatah lagi merencana langkah strategik, efektif dan praktikal lagi kreatif demi menyumbang ke arah pembebasan Palestin.
Sementara itu, antara aktiviti-aktiviti untuk menyemarakkan sambutan ini ialah ceramah umum, seminar, demonstrasi damai, penerbitan filem, buletin, cakera padat video (VCD), persembahan seni seperti teater, nasyid, dan festival seni dan pameran kesedaran di tempat awam yang strategik di masjid-masjid, sekolah-sekolah termasuk gedung beli-belah dan sebagainya.
*Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia
*Gambar diambil dari website AhmadGhareeb.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan