Pages

بسم الله الرحمن الرحيم

Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan saling berpesan pada yang benar, dan saling berpesan untuk bersabar. (103:1-3)

Ubat Hati

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA:

“Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara,
maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.

Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya.

Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.

Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam.

Keempat, menghampirkan diri kepada Allah beribadat/zikirullah) di sepertiga malam dan,

Kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Jumaat, 29 Jun 2012

Kenapa Allah Menguji Kita?


Kenapa Allah menguji kita ?


Ramai orang bertanya kenapakah mereka diuji sedangkan mereka tidak berbuat salah apa-apa ? Persoalan seperti itu tidak wajar keluar dari lisan seorang hamba yang menyerah diri dan mengerti tujuannya hidup di atas muka bumi ini.

Iaitu untuk diuji !

Firman Allah SWT : Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 2)

Hidup ini ialah untuk diuji lalu kenapakah kita mesti mempersoalkan mengapa Allah menguji kita dan mengaitkannya dengan kesalahan-kesalahan tertentu ? Apakah mesti ada kesalahan baru berhak diuji ? Adakah jika kita melakukan semua perintah Allah maka kita akan terselamat daripada diuji ?

Sedangkan baginda nabi Salallahualaihiwassalam menyebut bahawa yang paling teruk diuji ialah
الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى الرجل على حسب دينه
“Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. (tambahan dalam riwayat yang lain menyebut) Tidaklah hilang bala itu pada seseorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya.” (hadith riwayat Ahmad, tirmidzi dan Ibn majah,).

Atau sebenarnya kita ingin memprotes dan mempertikaikan kenapa kita diuji kerana kita telah menunaikan solat, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya lalu kita mengharapkan sepatutnya hidup kita tidak lagi diganggu oleh Tuhan dengan apa jua ujian agar kita boleh hidup dengan senang dan bahagia di atas muka bumi ini ?

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja hidup senang-lenang) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka belum lagi diuji ?” (Al-Ankabut : 2)

Ujian yang datang daripada Allah membawa dua tujuan iaitu rahmat dan kebinasaan. 

Ianya memberikan rahmat apabila manusia berjaya mengharunginya dengan keimanan dan kesabaran serta lulus pada amal dan perbuatannya sesuai dengan apa yang Allah kehendaki. 

Ujian seperti ini meningkatkan/meninggikan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT serta menghapuskan dosanya dan memberikan peluang kepadanya untuk mendapatkan syurga Allah SWT.

Sabda nabi Salallahualaihiwassalam,
إذا أحب الله قوما ابتلاهم
Maksudnya : “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum maka Dia akan menguji mereka.” (riwayat Tirmidzi)

Manakala ujian yang kedua pula memberikan musibah dan penyebab kepada kehancurannya di dunia dan di hari akhirat. Iaitu ujian yang berbentuk menjauhkan seseorang daripada agama dan mengeluarkannya daripada jalan Allah.

Firman Allah SWT : Mereka berkata: "Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang bersamu." (Nabi) Soleh berkata: "Nasibmu adalah dari sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu adalah kaum yang diuji."(An-Naml : 47)

Kita semua akan diuji kerana itu merupakan tujuan dan sebab kita diturunkan ke atas muka bumi ini iaitu untuk diuji agar dapat dilihat siapakah yang beriman dan siapakah yang tidak. 

Ujian ialah peluang dan tanda kita dipandang oleh Allah 

Firman Allah SWT :Dan sungguh akan Kami memberikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah : 155)

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hanya menguji orang yang dikasihinya atau yang mahu diberikan peluang untuk mereka beramal manakala orang-orang yang kafir dibiarkan dan tidak dipeduli oleh Allah SWt sebaliknya ditangguhkan balasan ke atas kesalahan-kesalahan mereka agar dihukum di hari akhirat dengan hukuman yang berat. Sedangkan orang yang beriman akan diuji sehingga dosa dan kesalahan mereka terhapus lalu dibangkitkan pada hari akhirat dengan keadaan suci bersih dari dosa.

Ini berdasarkan hadith daripada Anas ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba maka akan disegerakan hukuman terhadapnya di dunia dan jika Allah mengkehendaki keburukan kepada hambaNya maka dia akan menangguhkan hukuman terhadap dosanya agar dibalas pada hari kiamat.”(riwayat Hakim)

Sabda nabi salallahualaihiwassalam lagi,
من يرد الله به خيرا يُصِبْ منه
Maksudnya : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah dengan kebaikan maka dia akan ditimpakan dengan musibah.” (riwayat Al-Bukhari)

Manakala orang yang munafik dan tidak beriman, mereka diberikan kesenangan dan kelalaian sehingga menemui Allah SWT dalam keadaan sia-sia dan menderita akibat tidak beriman dan tidak beramal.  Bahkan Allah menyebut di dalam Al-Quran, yang bermaksud : Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?” (At-Taubah : 126) Kata Imam Ibn Katsir, yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah orang-orang munafik diuji dengan kelaparan dan penyakit setahun sekali atau dua kali. Menandakan sangat sedikit mereka diuji sehingga menimbulkan kelalaian dan keangkuhan dalam diri mereka. 

Apabila Allah menguji hamba-hambaNya itu bermaksud Dia masih memberikan peluang dan kesempatan untuk kita bertaubat dan kembali kepadaNya serta mengambil pelajaran. Oleh itu jangan dipandang bahawa orang yang hidupnya tiada masalah, sempurna dan selesa itu sebagai orang yang bertuah atau mendapat rahmat sebaliknya mereka itulah orang yang telah diabaikan dan terlepas peluang dari mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Ujian itu tanda cinta !

Tiada ulasan: