Pages

بسم الله الرحمن الرحيم

Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan saling berpesan pada yang benar, dan saling berpesan untuk bersabar. (103:1-3)

Ubat Hati

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA:

“Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara,
maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.

Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya.

Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.

Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam.

Keempat, menghampirkan diri kepada Allah beribadat/zikirullah) di sepertiga malam dan,

Kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Isnin, 14 Januari 2013

Hadis-hadis berkaitan Wajah Rasulullah S.A.W



Pada suatu hari, ketika Aishah menjahit baju pada waktu sahur, tiba-tiba jarumnya terjatuh. Secara kebetulan, lampu yang dipasang sejak tadi terpadam.

Nabi Muhammad S.A.W masuk dalam kegelapan tetapi wajahnya yang bercahaya itu menyebabkan Aisyah berjaya mengutip kembali jarum yang terjatuh.

“Wahai Muhammad, alangkah bercahayanya wajahmu,” kata Aisyah. 

Kemudian, dia menyambung, “Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari kiamat?”

Nabi Muhammad S.A.W menjawab, “Orang yang bakhil.”

Aisyah bertanya lagi, “Siapakah orang yang bakhil?”

“Orang yang bakhil itu ialah orang yang tidak mengucap selawat ke atasku apabila mendengar namaku disebut,” jawab Nabi Muhammad S.A.W.

alkurawiblogsport

MENGENAI RUPA BENTUK RASULULLAH S.A.W.

"Adalah di luar kemampuan manusia untuk melukiskan gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah s.a.w., jauh daripada kesanggupan sesiapa pun untuk menceritakan insan yang penuh cahaya ini. Walau bagaimanapun, para sahabat (r.a.) disebabkan jiwa mereka yang bercahaya dan mempunyai kesanggupan, maka telah cuba menggambarkan rupa bentuk baginda untuk memberikan sedikit bayangan baginda (s.a.w.) kepada kita untuk memuaskan hati kita dengannya."

- Syeikh Hafiz Abu Isa Muhammad Ibn Isa Tarmizi
"Keseluruhan kekacakan Rasulullah s.a.w. tidak dizahirkan, jika tidak, maka manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arahnya"

-'Allamah Qurtubi (rahmatullah 'alaihi)
"Saya tidak pernah melihat sesiapa yang lebih tampan daripada Rasulullah s.a.w."

-Al Barra' bin 'Azib (r.a)
"Saya tidak pernah berjumpa sesiapa pun yang lebih segak dan kacak sama ada sebelum atau sesudahnya."

-Ali bin Abu Thalib
"Wajah Rasulullah s.a.w. menyinar laksana bulan purnama penuh" - Hind (r.a.)

"Saya sedang melihat wajah Rasulullah s.a.w., kemudian saya melihat pada bulan purnama. Menurut pandangan saya, wajah Rasulullah s.a.w. lebih cantik dari bulan." - Jabir (r.a.)

Seorang penyair Parsi menyatakan dengan benar bahawa segala kekacakan yang dipunyai sekalian Nabi dan Rasul telah didapati sempurna sifatnya pada diri Rasulullah s.a.w.

Kecantikan Nabi Yusuf a.s. terserlah sepenuhnya berbanding kecantikan Rasulullah s.a.w. di mana ia tidak diserlahkan oleh ALLAH sepenuhnya.

"Rasulullah s.a.w. itu tersangat putih seolah-olah baginda dijadikan daripada perak"

-Abu Hurairah (r.a.)
 "Rasulullah s.a.w. tidaklah terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Warna wajahnya tidak terlalu putih seumpama air kapur dan tidak juga terlalu pudar. Rambut baginda s.a.w. tidak terlalu lurus dan tidak pula terlalu kerinting. ALLAH s.w.t. mengurniakan kenabian kepadanya ketika baginda berusia 40 tahun. Beliau telah tinggal di Makkah selama 10 tahun dan di Madinah selama 10 tahun dan ALLAH telah mewafatkannya ketika umur baginda mencapai lebih 60 tahun, namun uban yang ada pada rambut dan janggut baginda tidak melebihi 20 helai." -Anas (r.a.)

Rasulullah s.a.w. tidak putih seperti air kapur. Wajahnya juga tidak diputihkan. Wajah baginda adalah putih kemerah-merahan. Wajah Rasulullah s.a.w. mempunyai unsur-unsur kemerah-merahan dan terdapat cahaya di dalamnya.

Dengan ini imam-imam telah menyatakan bahawa jika seseorang mengatakan warna wajah Rasulullah s.a.w. adalah hitam, maka dia dijatuhi fatwa kufur kerana menyakiti dan memperkecil-kecilkan Rasulullah s.a.w. Begitu juga jika dia menyalahi Hadis Mutanawir (yang terus-menerus periwayatnya) yang telah membuktikan akan keputihan wajah Rasulullah s.a.w., maka orang itu digelar kufur.

Dalam satu hadis mengatakan jika Rasulullah s.a.w. berada di tengah-tengah sekumpulan manusia, baginda akan kelihatan seolah-olah lebih tinggi daripada yang lain.  Ini merupakan mukjizat yang dikurniakan oleh ALLAH s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w iaitu, bukan sahaja baginda mempunyai pengetahuan yang luas berbanding yang lain, tetapi baginda juga tinggi dari segi tubuh badannya.

Saiyidina Ali (r.a.) menggambarkan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang yang tidak tinggi dan tidak rendah. Tapak tangannya yang mulia dan kedua-dua kakinya berisi (tidak kurus, dipenuhi isi). Kepalanya yang mulia besar, sendi-sendi tulangnya juga besar. Daripada dada sehingga ke pusat terdapat barisan bulu-bulu yang nipis.  Ketika baginda berjalan seolah-olah nampak baginda sedang menuruni dari suatu tempat yang tinggi.
Setiap orang Islam wajib menghayati dan mempercayai bahawa TIDAK ADA MANA-MANA MANUSIA YANG DAPAT MENYAMAI RASULULLAH (S.A.W.). BAGINDA TIDAK DAPAT DIBANDINGKAN DENGAN MANA-MANA MAKHLUK. Juga tidak ada sesiapa yang mempunyai wajah sebagaimana yang dipunyai oleh Rasulullah s.a.w., dan juga tidak akan ada wajah seperti itu yang akan diberikan kepada sesiapa pun.

"Sekiranya rakan-rakan wanita Zulaikha memotong jari mereka tatkala melihat Nabi Yusuf a.s., maka jika mereka melihat wajah Rasulullah s.a.w., mereka pasti akan memotong hati-hati mereka." - Saiyiditina Aisyah r.a.

Terdapat seseorang yang bertanya kepada Al Barra bin 'Azib (r.a.): "Adakah wajah Rasulullah s.a.w. seumpama pedang yang mempunyai sisi yang tajam?" Jawab Al Barra: "Tidak, wajah baginda laksana bulan."

Abu Thufail (r.a.) diriwayatkan sebagai berkata: "Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. di mana tiada seorang pun yang masih hidup sekarang yang telah melihatnya selain dariku." Kata Sa'ed b. Al Jurari meminta: "Sifatkanlah kepadaku akan diri Rasulullah s.a.w. itu". Jawab Abu Thufail, "Warna kulitnya putih, perawakannya tampan dan sederhana."

Jabir bin Samurah (r.a.) meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai mulut yang lebar (keluasannya sesuai dengan wajahnya), matanya lebar dan tumitnya nipis.

Tanya Syu'bah: "Aku bertanya Simak mengenai maksud mulut yang lebar itu."

Jawab beliau: "Bentuk mulutnya sesuai dan seimbang dengan raut wajahnya."

"Apakah yang dimaksudkan dengan mata yang lebar?"

"Bentuk matanya panjang."

"Apakah yang dimaksudkan dengan tumit yang nipis?"

"Daging tumitnya sedikit (tidak penuh)."

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Telah diperlihatkan kepadaku akan sekalian Nabi-nabi. Adapun Nabi Musa a.s. adalah bagaikan seorang lelaki yang berasal dari suku Syanu'ah. Nabi Isa a.s. pula mirip 'Urwah bin Mas'ud. Aku melihat Nabi Ibrahim  a.s., ternyata lelaki yang mirip dengannya adalah sahabat kamu sendiri (maksudnya Rasulullah s.a.w. sendiri). Aku melihat Jibril, dan orang yang mirip dengannya adalah Dihyah."
(HR Jabir bin Abdullah r.a.)

Satu lagi riwayat Anas r.a. adalah "Rasulullah s.a.w. bertubuh sederhana, tidak tinggi dan tidak rendah. Bentuk tubuhnya cantik. Rambutnya tidak terlalu kerinting dan tidak pula terlalu lurus dan warnanya kehitam-hitaman. Apabila berjalan, langkah kakinya pantas."

"Rasulullah s.a.w. adalah seorang lelaki yang berperwatakan sederhana, mempunyai dada yang bidang (jarak antara kedua bahunya lebar). Rambutnya lebat menjuntai sehingga mencecah kedua cuping telinganya. Baginda sering memakai pakaian yang merah di mana tiada seorang pun yang aku lihat lebih kacak darinya." - Al Barra bin 'Azib

Perihal rupa Rasulullah s.a.w dari riwayat Saiyidina Ali (r.a.)
"Rasulullah s.a.w. tidak tersangat tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Baginda mempunyai tubuh badan yang sederhana. Rambutnya tidak terlalu lurus dan tidak terlalu berketak-ketak sebaliknya keadaan rambutnya berombak-ombak (ikal). Badannya tidak gemuk. Wajahnya tidak bulat tetapi bujur. Warna wajah Rasulullah s.a.w. biasa dengan sedikit kemerah-merahan. Matanya tersangat hitam dan bulu keningnya panjang. Tulang sendi di badannya tebal (besar) (pergelangan tangan, siku, lutut). Bahagian di antara kedua-dua bahu dipenuhi daging-daging (berisi). Badan baginda s.a.w. tidak berbulu, tidak ada bulu seluruh tubuh badannya, tetapi ada sedikit barisan bulu daripada dada terus ke pusat. Tangannya yang mulia penuh isi-isi daging. Apabila Rasulullah s.a.w. berjalan, baginda akan melangkah ke hadapan dengan kukuhnya, seolah-olah baginda berjalan menuruni tempat curam, menurun dari tempat tinggi ke tempat rendah. Apabila baginda menumpukan perhatian kepada seseorang, baginda melakukannya dengan seluruh jasadnya (iaitu bukanlah seperti seorang yang berbangga diri yang memandang sambil lewa sahaja atau menyorot dengan mata sahaja, tetapi baginda akan memusingkan seluruh tubuhnya yang mulia dan menoleh mukanya yang bercahaya untuk memberikan perhatian). Di antara dua bahunya terdapat tanda kenabian. Pangkat kenabian berakhir padanya. Baginda terlebih dermawan daripada segala makhluk dan paling dipercayai percakapannya dan terlebih lembut hatinya daripada semua manusia. Baginda adalah dari golingan keluarga yang paling mulia."

Perihal rupa Rasulullah s.a.w. dari riwayat Hind bin Halah
"Rasulullah s.a.w. mempunyai sifat yang sangat mulia pada dirinya dan juga sangat mulia pada pandangan orang lain. Wajahnya bercahaya seperti bulan mengambang. Baginda lebih tinggi daripada orang sederhana namun lebih rendah daripada orang yang sangat tinggi. Kepalanya yang mulia sederhana besarnya. Walaupun besar tetapi sepadanlah dengan kekacakannya. Tidaklah begitu besar sehingga mencacatkan kekacakan wajah dan perawakannya. Rambutnya yang mulia sedikit bergelombang (tidak lurus sangat). Baginda tidak mengambil berat untuk membelah rambutnya, jika rambutnya senang untuk dibelah, maka baiklah keadaannya. Jika tidak, baginda tidak akan memberikan tumpuan untuk melakukannya. Dalam hal ini, baginda melakukannya mengikut masa dan keadaan. Jika setelah diminyaki rambutnya, baginda akan membelah rambutnya bila mana sikat diperoleh kemudiannya. Bila rambut Rasulullah s.a.w. panjang, rambut baginda melepasi sedikit daripada cuping telinganya.

Wajah baginda berseri-seri dan dahinya lurus. Keningnya nipis dan melengkung dan tidak bertemu. Di antara keningnya terdapat satu urat yang akan timbul apabila baginda murka. Hidungnya yang mulia mancung dan bercahaya. Pada sekalian pandang seorang pemerhati akan mendapati hidungnya besar tetapi apabila diperhati secara halus maka dia akan mendapati bahawa hidungnya mancung adalah disebabkan cahaya dan bukanlah sebenarnya besar.
Janggutnya yang mulia berkeadaan lebat. Anak matanya tersangat hitam. Pipinya rata (tidak cengkung), berisi tidak kendur atau menggelembir.

Mulut baginda sederhana luasnya (tidak sempit yang menjadikan rupa seseorang hodoh). Giginya kecil dan bercahaya dan tidak besar. Di antara gigi-gigi depannya terdapat sedikit jarak dan tidaklah rapat sangat di antara satu sama lain. Satu garisan rambut halus membarisi daripada dada ke pusat.
Lehernya kurus dan cantik untuk dilihat seumpama besi yang tercanai dan warna kulitnya cerah dan menarik seperti perak. Kesemua kakinya dan tangannya berulas. Badannya tegap. Perut dan dadanya rata (yakni tidak buncit yang boleh menyebabkan kesukaran sewaktu berjalan. Dadanya bidang malahan agak lebar di antara kedua-dua bahunya. Tulang-tulang sendinya besar dan kuat (menunjukkan kekuatannya). Apabila baginda membuka baju, badannya nampak berkilat dan berkilau (bahagian badan yang terdedah nampak berkilat dan bersinar sebagaimana bahagian yang tertutup). Terdapat satu jaluran bulu antara dada ke pusat. Selama ini dada dan perutnya tidak mempunyai bulu tetapi bulu bulu terdapat pada kedua-dua lengannya, bahu dan bahagian atas dada. Pergelangan tangannya panjang dan tapak tangannya lebar. Kedua-dua kakinya berisi dan montok. Jari-jari tangan dan kakinya panjang setangkap (sama ukuran). Tapak kakinya dalam dan kakinya rata. Kakinya yang berkeadaa licin, menjadikan air berlalu tanpa melekat dan mengalir terus. Apabila baginda berjalan, baginda akan menapak ke hadapan dengan tegap. Baginda berjalan agak membongkok ke hadapan sambil meletakkan kakinya ke tanah dengan lembut tanpa menghentak. Baginda berjalan dengan langkah yang cergas dan bukan langkah pendek-pendek. Apabila berjalan baginda nampak seolah-olah baginda menuruni bukit.

Apabila Rasulullah s.a.w. memberikan sesuatu perhatian, baginda akan memalingkan seluruh tubuhnya. Matanya yang mulia sentiasa ke bawah, kebanyakannya memandang ke arah bumi daripada memandang ke langit. Memandang hanya dengan ekor mata sahaja. Apabila baginda s.a.w. berjalan di kalangan sahabat-sahabat, baginda s.a.w. tidak akan mendahului mereka. Baginda akan mendahului memberi salam jika bertemu dengan orang ramai."

Sesungguhnya Rasul kita Muhammad s.a.w. dikurniakan ALLAH s.w.t. dengan wajah yang sangat mulia, yang tiada tolok banding, dan tidak mampu sama sekali digambarkan dengan sempurna oleh sesiapa pun. Dengan itu adalah sangat tidak wajar apabila ada pihak-pihak anti-Islam yang melukis wajah Muhammad dengan gambaran-gambaran yang biadab. Sama-samalah kita mendoakan agar ALLAH memberikan sebaik-baik pembalasan kepada mereka. Dan semoga kita dapat menatap wajah mulia Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak. Amin.

Rujukan: Insan Teladan Sepanjang Zaman karya Mufti Ahmad E. Bemat, Sheikhful Hadis Maulana Muhd. Zakariya Al-Kandahlawi. Terbitan Darul Nu'Man (1994)

Tiada ulasan: