Pages

بسم الله الرحمن الرحيم

Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan saling berpesan pada yang benar, dan saling berpesan untuk bersabar. (103:1-3)

Ubat Hati

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA:

“Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara,
maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.

Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya.

Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.

Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam.

Keempat, menghampirkan diri kepada Allah beribadat/zikirullah) di sepertiga malam dan,

Kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Isnin, 22 Disember 2008

Rahsia Kejadian Manusia

Allah telah mengurniakan beberapa keistimewaan kepada makhlukNya yang dipanggil manusia. Keistimewaan ini ialah grand design dan menjadi rahsia Allah yang tidak diceritakan kepada makhluk-makhlukNya yang lain, termasuklah para malaikat. Apabila malaikat menyoal Allah, adakah kemungkinan manusia akan membuat kerosakan dimuka bumi. Allah menjelaskan bahawa, kejadian manusia adalah untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini. Memang beruntung makhluk yang bernama manusia ini.
Buktinya dapat dilihat dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud “Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Lalu para malaikat bertanya, ‘Apakah Engkau hendak menjadi di muka bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kali sentiasa bertasbih dan memuji Engkau?’ Allah menjelaskan; ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Walau bagaimanapun, rahsia kejadian manusia itu Allah ceritakan dalam kalamNya yang teragung, iaitu Al-Quran.

Rahsia Pertama – Allah sendiri Memuliakan manusia

Allah sendiri telah memuliakan makhluk yang bernama manusia ini. Allah berfirman dalam Al-Quran(surah al-Isra : 70) yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam(manusia) dan Kami tempatkan mereka di bumi dan di lautan serta Kami berikan kepada mereka dari jenis yang baik-baik. Dan Kami berikan mereka banyak kelebihan daripada makhluk-makhluk lain yang Kami jadikan.”

Rahsia Kedua – Manusia dijadikan dengan Sebaik-baik Kejadian

Allah berfirman dalam surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Sebaik-baik kejadian manusia termasuk dijadikan akal dan pancaindera yang boleh membina tamadun bumi ini. Makhluk lain tidak diberikan kelebihan akal ini. Kalau tidak, dah lama nelayan susah nak tangkap ikan.yelah, ikan-ikan bijak berfikir, tau orang nak tangkap. Tak ke susah manusia nak makan ikan.hehehe.

Rahsia Ketiga – Manusia diberi Akal Fikiran

Kemuliaan manusia kerana diberikan akal daripada Allah. Itulah kelebihan yang nyata manusia berbanding makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Rasullah S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud “makhluk yang mula-mula sekali dijadikan Allah ialah akal. Maka Allah berfirman kepadanya; ‘Menghadaplah kepadaKu’. Akal pun menghadap. Kemudian firmanNya lagi; ‘Membelakangilah Aku’. Lalu akal membelakang. Allah berfirman lagi mengenai akal; ‘Demi kemuliaan dan kebesaran Aku, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa.” (riwayat Tabrani dari Abi Umamah).

Akal ialah makhluk yang mula-mula dijadikan dan termulia daripada makhluk lain. Dengan akal juga, manusia menjadikannya sebagai panduan dan neraca dalam hidup untuk mendapatkan pahala atau neraka. Di samping itu, dengan akal, iman, agama dan akhlak manusia akan menjadi sempurna. Mana-mana manusia yang menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan petunjuk, mendapatkan iman, membina akhlak dan panduan dalam hidup, maka manusia itulah yang mendapat martabat mulia dan tinggi di sisi Allah serta makhluk lain. Tetapi jika sebaliknya, maka tergolonglah manusia itu ke dalam golongan yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran sebagai yang lebih hina daripada haiwan. Rujuk Surah al-A’raf, ayat 179.
Sabda Rasullah, yang bermaksud “Orang yang paling sempurna akalnya di antara kamu ialah orang yang paling takutkan Allah dan amat mengambil berat mengenai perintah dan larangan Allah walaupun dia melakukan amalan sunat sedikit.” (riwayat Ibnu Mahbar). Bagi orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir, merenung, merancang dan menghasilkan sesuatu yang berguna, maka faedah pahalanya melebihi ibadah sunat setahun!

Rahsia Keempat – Manusia dilantik Allah sebagai Khalifah

Maksud khalifah ialah wakil atua pengganti. Apabila manusia dilantik menjadi khalifah di bumi ini, bermakna dia dilantik sebagai wakil bagi pihak Allah untuk mengurus dan mentadbir muka bumi mengikut peraturan yang telah ditetapkanNya. Jawatan ini hanya diserahkan kepada manusia, yang menunjukkan bahawa manusia memang makhluk Allah yang mempunyai darjat dan kedudukan tinggi pada pandangan Allah. Pentaulihan ini jelas diterangkan dalan al-Quran, surah al-An’am, ayat 165 yang bermaksud “Dan Dialah yang menjadikan kamu(manusia) sebagai khalifah di muka bumi ini.”

Rahsia Kelima – Manusia Diatur Keturunan dengan Baik.

Manusia sahaja yang diberi peraturan dan panduan dalam kekeluargaan. Makhluk lain tidak. Cuba tengok lembu, mana ada nak berkenal-kenalan, merisik, bertunang dan berkahwin, dan kemudian dapat anak. Lembu jantan main belasah aje, tanpa mengira lembu betina kepunyaan siapa pun. Tup…tup, lembu betina dah bunting (dengan izin Allah).Bapa lembu tak kisah dah(buat don’t know aje…). Kalau manusia mana boleh. Perlu ada ikatan perkahwinan. Dan zuriat yang dilahirkan berbin kan si bapanya. Hal ini ingin menjaga kerukunan hidup manusia itu sendiri.

Rahsia Keenam – Manusia mempunyai tempat tinggal khusus dan Indah

Kita ni sebenarnya diciptakan Allah dengan memiliki sifat kreatif. Kita mampu mempelbagaikan bentuk dan jenis tempat tinggal yang kita ingini(tak perlu ambil course senibina pun!). Manusia juga kreatif membuat pelbagai kerja untuk tujuan mencari nafkah. Tidak seperti binatang yang tidak ada tempat tinggal dan tidak kreatif membuat pelbagai jenis kerja.

Maka tak hairan la manusia tinggal di rumah yang cantik, indah dan dihiasi pelbagai jenis perhiasan, perabot dan lain-lain. Bidang pekerjaan untuk mencari nafkah terlalu banyak, contohnya petani, tukang masak, guru, doktor, jurutera, pelukis dan lain-lain. Keadaan ini wujud hanya bagi manusia! Bayangkan kalau itik pergi keje, tak ke pelik tu!

Rahsia Ketujuh – Manusia makhluk bermasyarakat

Manusia dijadikan dalam pelbagai bangsa dan bersuku. Mereka boleh berkenalan, hidup rukun dan aman, malah suka membantu. Pendek crite, manusia boleh membentuk masyarakat la.

Rahsia Kelapan – Manusia diberi kuasa memilih

Manusia diberi keisitmewaan untuk memilih jalan hidupnya, sama ada untuk hidup bahagia atau terseksa, sama ada di dunia atau akhirat. Manusia tidak pernah dipaksa. Mereka memilih sendiri jalan hidup, dan akan bertanggungjawab terhadap jalan hidup yang dipilihnya. Agama atau pegangan hidup bagi manusia juga sesuai dengan fitrah dan sifat semulajadinya.

Allah berfirman yang bermaksud: “ Tidak ada paksaan dalam agama.Sesungguhnya telah jelas dan nyata jalan kebenaran dan jalan kesesatan.Siapa yang menolak jalan taghut dan memilih jalan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali Allah yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah : 256) .

Rahsia Kesembilan – Kemuliaan Manusia kerana Berakhlak

Manusia menjadi makhluk yang termulia di sisi Allah adalah kerana Allah telah sempurnakan akhlak manusia itu. Ini merupakan kemuncak tertinggi dalam diri manusia. Baginda Rasullah mengakuinya dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”(Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).

Akhlak mulia merupakan hasil dari ibadah dan cara hidup orang Islam. Setiap orang akan dinilai dari segi akhlaknya. Kalau baik akhlaknya, maka ia akan dianggap baik dan juga sebaliknya. Rasullah juga menegaskan bahawa akhlak mulia itu mempunyai kaitan dengan agama(cara hidup). Sabda baginda yang bermaksud: “Bermula agama itu ialah budi pekerti mulia”(Riwayat Muhammad bin Nasyur).
Pernah seorang sahabat datang memberitahu Rasullah bahawa terdapat seorang wanita ahli ibadah, yang waktu malamnya bertahajud dan siang berpuasa sunat, tetapi mempunyai akhlak yang buruk dan suka menganggu serta menyakiti hati jiran dengan lidahnya. Maka Nabi S.A.W dengan tegasnya bersabda yang bermaksud : “Tidak ada kebaikan pada wanita itu dan dia termasuk ahli neraka”(Riwayat Ahmad dan Hakim).

“Sekiranya aku berkawan dengan orang derhaka tetapi berakhlak mulia, lebih baik bagi aku daripada brekawan dengan seorang ahli ibadah yang berakhlak buruk”-Fudhail
Kesempurnaan akhlak seseorang itu juga berkait rapat dengan kesempurnaan akalnya. Ini bermakna akal dan akhlak tidak terpisah. Itulah nilai martabat makhluk selaku manusia. Mulia atau hinanya bangsa itu bukan terletak pada kekuatan senjata dan kekayaan harta tetapi lebih banyak terletak pada akhlak mulia.
Untuk mengembalikan kekuatan, kemuliaan dan keagungan umat Islam, tidak cukup dengan hanay membina kekuatan ekonomi, politik dan senjata tanpa akhlak mulia. Akhlak mulia ialah asas kekuatan umat Islam. Selagi umat Islam berakhlak mulia, selama itu akan disegani dan dihormati oleh semua bangsa. Kekuatan zahir hanya dijadikan sebagai kekuatan tambahan.

Rahsia Kesepuluh – Manusia mampu mengendali dan meningkatkan maqam nafsunya

Malaikat berjiwa suci, tapi tiada nafsu. Binatang pula diberi nafsu tanpa akal. Manusia pula diberikan akal dan nafsu serta perasaan. Nafsu sebenarnya dapat dipecahkan kepada beberapa jenis. Antaranya :
1) Ammarah
2) Lawwamah
3) Mulhimah
4) Mutmainnah
5) Radhiah
6) Mardhiah
7) Kamilah

Nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan. Nafsu ini adalah nafsu ammarah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberikan kemampuan dan kekuatan untuk manusia mengendalikan nafsu sehingga menjadi baik dan boleh didorong kepada kebaikan. Nafsu yang terdidik menjadi baik iaitu nafsu mutmainnah. Nafsu ini adalah nafsu ahli syurga.

Nafsu ada yang baik dan ada yang jahat. Kedua-duanya wujud dalam diri manusia. Siapa yang dikuasai salah satu daripadanya, dia akan bersifat dengan pilihannya itu. DAN untuk menentukan antara nafsu itu yang menjadi sifat manusia, ia bergantung sejauh mana akal manusia itu berusaha mengendalikan dan mengawal serta berusaha untuk mencapai nafsu yang baik.

Nafsu jahat boleh dikalahkan dan nafsu baik boleh ditingkatkan dengan beberapa latihan, melalui 4 cara iaitu kurangkan makan, kurangkan tidur, bercakap sekadar perlu dan sabar dengan ujian yang menimpa.dan sabar dengan ujian yang menimpa.

Tiada ulasan: